Tuesday, December 8, 2009

Isu Tauhid Golongan Wahhabi,Sunnah wal Jamaah & Penggunaan Nama Allah

Berkira-kira juga untuk menulis mengenai isu ini. Isu ini agak berat dan memang hangat diperkatakan kebelakangan ini terutama setelah penahanan dan pendakwaan ceramah tak bertauliah oleh JAIS ke atas Dr Mohd Asri. Saya bukanlah orang yang layak dan tidak pula bertauliah, namun begitu terdapat persoalan yang ingin dirungkai, makanya saya nukilkan juga isu ini dalam blog saya. Semoga mendapat maklumbalas daripada pihak pembaca.

Saya tidaklah belajar agama sebegitu tinggi, namun saya mengetahui bahawa tauhid itu mengesakan Allah (asal kata wahid/ahad) Tuhan itu satu, tiada sekutu baginya, itulah yang difahamkan daripada kecil lagi. Sebelum ini saya tidaklah pula mengetahui mengenai Tauhid tiga serangkai (Rububiyah, Uluhiyah & Asma' wa sifat) yang diwar-warkan secara meluas baru-baru ini. Di dada akhbar berkali-kali diterangkan mengenai kaitan golongan Wahhabi dan Tauhid tiga serangkai, menyuruh rakyat agar berwaspada, menyatakan bahawa Tauhid tiga serangkai tidak disyariatkan, ia adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, jadi mesti berwaspada dengan golongan Wahhabi ini. (Di sini saya bukan hendak membincangkan mengenai Wahhabi, cuma mengenai isu Tauhid sahaja).

Waspada 'tajdid' Wahhabi (U.Melayu)
Bahaya taklid dalam tauhid (U.Melayu)
Tauhid tiga serangkai disyariat dalam Islam?

Antara kandungannya :

Tauhid rububiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada ciptaan, pemerintahan, takdir, pentadbiran dan perbuatan-Nya serta dalam memberikan suatu kesan.Manakala tauhid uluhiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah dalam hal peribadatan tanpa mengambil seorang manusia pun bersama Allah sebagai sembahan.Tauhid Asma' dan Sifat pula didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada apa yang dinamakan dan disifatkan dengan diri-Nya, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya atau yang didapati daripada lidah nabi-Nya yang telah menetapkan dengan apa yang telah ditetapkan bagi diri-Nya.

Apabila ditanya dari mana nas al-Quran dan sunnah yang menyebut pembahagian yang jelas bagi tauhid tiga serangkai iaitu tauhid uluhiah, tauhid rububiah dan tauhid asma' wa sifat, pendokongnya yang mengaku berpegang dengan al-Quran dan sunnah pun, teragak-agak mendatangkan hujah.

Kesimpulannya, pemahaman Tauhid Tiga serangkai yang dikatakan berpunca daripada golongan Wahhabi ini adalah tidak sesuai malahan menyeleweng pula daripada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Namun begitu saya teringat pula kepada isu penggunaan nama Allah oleh penganut agama Kristian yang dihalang keras oleh golongan Ulama dan dengan alasan berikut dalam :

Jangan kelirukan perkataan Allah

Antara kandungannya :

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menentang sebarang penerbitan bahan bacaan agama lain menggunakan perkataan Allah kerana ia boleh mengelirukan masyarakat majmuk di negara ini. 'Setelah menimbangkan maslahah dalam konteks Malaysia, PUM mengambil pendirian bersetuju bahawa perkataan 'Allah' tidak wajar digunakan bagi agama lain selain daripada Islam. Sambil merujuk kepada isu akhbar mingguan Herald Catholic yang mencetuskan kemarahan masyarakat Islam kerana menggunakan perkataan Allah dalam edisi terbitan bahasa Melayunya, Ahmad Zahid menegaskan, perkara itu sepatutnya tidak timbul sekiranya semua pihak prihatin dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Mohd. Roslan seterusnya menyatakan secara khusus, perkataan Allah mempunyai partikel 'al' iaitu al-ilah yang dalam bahasa Inggeris, ia merujuk kepada The Only God.

''Justeru adakah orang bukan Islam mempunyai konsep yang sama? Sudah tentu tidak," katanya. Dalam hal ini, katanya lagi, terdapat ayat al-Quran yang menyebut, ''bila ditanya kepada mereka (yakni bukan Islam) siapakah yang menjadikan langit dan bumi? Lantas mereka menjawab, Allah." Jelas Mohd. Roslan, meskipun dalam ayat itu, orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah, ia adalah merujuk tentang Allah sebagai tuhan dalam konteks rububiyah (ketuhanan) dan bukannya uluhiyah (keesaan Allah).

OK, jadi persoalan di sini, kenapa dalam isu penggunaan nama Allah, boleh gunakan Tauhid tiga serangkai sebagai alasan untuk tidak membenarkan mereka menggunakannya, dan kemudian baru-baru ini mengatakan bahawa ia tidak selaras pula dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah ? Lebih-lebih lagi setelah isu golongan Wahhabi giat diperkatakan. Adakah agama digunakan sebagai alasan untuk membenarkan atau menidakkan sesuatu perkara? Kenapa pula ia tidak konsisten? Bukankah ini lagi mengelirukan sekian rakyat yang dahagakan ilmu? Kejap cakap macam ni, lepas tu lain pula. Tapi seperti yang saya cakapkan, siapalah saya? Orang yang tak punya tauliah. Kepada pembaca budiman yang berpengetahuan, minta pencerahan.

1 comment:

  1. Assalamualaikum, tak perlu kita baca pandangan manusia kerana kalau kita ikuti pendapat manusia kalau ada 1001 oran akan ada 1001 macam pendapat. Yg pasti adalah ketetapan Allah (a.w) dalam al-Quran dan as-Sunnah. Demikianlah tafsiran siapa dia golongan 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu? Asasnya tetap al-Quran dan as-Sunnah, itulah panduan yg haq. Sila layari: yayasan-ilmu.blogspot.com untuk kepastian mengenai konsep ini.

    ReplyDelete