Wednesday, July 18, 2012

Lakonan Manusia (bhgn I)

Berjumpa dengan pelbagai jenis manusia membuatkan aku berfikir adakah sikap dan perangai yang mereka tonjolkan itu merupakan sikap sebenar mereka ataupun mereka hanya berlakon semata? Adakah perlakuan kita dengan orang di sekeliling kita cerminan kepada diri kita yang sebenar atau kita hanya berlakon untuk mengambil hati/kelihatan hebat/cover line dan pelbagai alasan yang lain? Mengapa kadangkala kita bersikap baik di hadapan sesetengah orang, orang tua kita misalnya atau mertua (haruslah kan) dan adakah itu dianggap berlakon? Atau kali pertama bertemujanji, mestilah mahu berdandan segala bercakap yang baik-baik, kelakuan tertib, serba-serbi dijaga tapi di masa kedepan dah tak begitu rigid, malah kadangkala dah tak terjaga langsung.Sebagai guru contohnya, adakah kita benar-benar ikhlas dan bersikap jujur mahu melayani setiap kerenah murid atau terpaksa berlakon? Jadi berapa lama sebenarnya yang diperlukan untuk kita betul-betul mengenali sikap sebenar seorang manusia? 1-2 tahun? Berapa lama pula yang diperlukan untuk diri kita menunjukkan sikap sebenar kita ? (jikalau wujud apa yang  boleh didefinisikan sebagai sikap sebenar).

Secara umum, boleh dikatakan manusia ini sikapnya bagaikan sesumpah. Ia bertukar mengikut keadaan, tempat, waktu tertentu. Dari kecil dan apabila menuju alam dewasa, semestinya boleh dilihat perubahan sikap (jikalau tiada maka boleh dikatakan sebagai bersikap keanak-anakan). Kita mungkin bersikap garang dan tegas di pejabat, namun dengan anak-anak, boleh bersikap lembut.Di hadapan orang tua kita akan tunjukkan sikap yang terbaik, yang tidak baik mungkin hanya diketahui oleh teman-teman rapat di sekeliling. Mungkin niat kita baik, tidak mahu mereka susah hati kerana kita mampu menyelesaikan masalah tersebut. Jadi kita pun berlakon seolah tiada apa-apa masalah. Manusia juga boleh berubah sikap terutamanya apabila diberikan tekanan - masalah kewangan, kehilangan orang tersayang, dibuang kerja dll. Kadangkala sikap yang ditonjolkan tidak mencerminkan perasaan sebenar di hati, namun ia lebih kepada apa yang mampu dikawal oleh otak. Contohnya, walaupun hati rasa marah, rasa nak lempang  dan sebagainya, namun otak kita mengatakan jangan! Jadi kita mampu untuk bertindak secara rasional.Jadi lakonan untuk kelihatan cool itu sebenarnya adalah sesuatu yang bagus? Atau tatkala kita menghadiri temuduga/berjumpa dengan orang baharu, kita mencuba sebaiknya untuk menjadi yang terbaik/teramah. Kita mahu kelihatan presentable. Mungkin kita tidak suka pun beramah-tamah, tapi sekurang-kurangnya kita berlakon supaya tidak kelihatan kekok.

Jadi kesimpulan untuk bahagian 1 ini, manusia berlakon mengikut keadaan atas dasar peribadi/keluarga/kerja/kerasionalan/tidak kelihatan kekok. Dalam post seterusnya - wujudkah sikap sebenar & berapa lama diperlukan untuk mengenali sikap sebenar seseorang(bersambung...).

*Something to ponder till next post; berlakon in English is act.We do have to act to make things done right?