Wednesday, October 21, 2009

Review Laskar Pelangi


Saya yakin ramai yang pernah dengar lagu Laskar Pelangi oleh Nidji, tapi bagaimana dengan filemnya? ataupun novelnya? Jadi di sini ingin saya kongsikan mengenai karya sulung Andrea Hirata ini. Laskar pelangi merupakan novel kedua dari seberang yang telah saya baca setelah Ayat-ayat Cinta. Untuk membandingkan keduanya, mungkin tidak adil kerana masing-masing berada dalam kelas tersendiri. Pengisian yang diperolehi juga berbeza. Namun entah mengapa, saya lebih menggemari Laskar pelangi.


Mengisahkan mengenai kisah suka dan duka, pahit manis 10 + 1 pelajar-pelajar di sekolah Muhammadiyah, Belitong yang diceriterakan dengan baik sekali oleh Andrea sehingga karakter setiap pelajar digambarkan dengan berkesan. Sesuai dengan tajuknya, laskar pelangi. Pelangi..penuh warna warni, kisah pelajar-pelajar yang pelbagai ragamnya. Saya amat tersentuh dengan watak Ikal, Mahar dan Lintang.

Ikal merupakan tukang cerita dalam novel ini. Ia bercerita dari sudut pandangan matanya yang meihat watak orang di sekelilingya - guru, rakan sekelas dll. Mahar pula merupakan seorang pelajar yang sarat dengan ide-ide kreatif,kesenian dan kebudayaan. Dia juga amat berminat untuk mengkaji unsur-unsur mistikal. Seterusnya Lintang, yang merupakan seorang pelajar genius, sanggup meredah 80km demi ilmu dengan berbasikal walaupun hidupnya serba daif dan kekurangan. Di sini saya melihat ada keseimbangan, yin dan yang, otak kiri dan otak kanan antara watak Mahar dan Lintang. Mungkin hendak ditunjukkan kepandaian manusia itu berbeza-beza, kita yang harus mencari potensi diri.

Secara keseluruhannya apa yang hendak disampaikan oleh penulis adalah perbezaan taraf sosial, kemiskinan, diskriminasi dan tekanan hidup merupakan cabaran dalam pendidikan. Di sebalik kisah suka duka zaman persekolahan yang mereka lalui...bagaimana masa depan mereka..itu antara persoalan yang dirungkai oleh penulis di akhir novel ini. **** bintang!

No comments:

Post a Comment