Friday, April 15, 2011

Manusia Dan Iblis/Syaitan

Kita lihat pada masa kini, banyak berlaku kejadian yang menunjukkan sikap jahat manusia yang
dikatakan syaitan bertopengkan manusia - kes bunuh, rogol, pecah amanah, buang bayi.

Adakah kita menyalahkan syaitan atas kejadian-kejadian yang berlaku? Semua yang terjadi kerana syaitan yang menggoda manusia, manusia cuma terpengaruh dengan bisikan syaitan? Salah siapa? Kita sedia maklum bahawa syaitan tu jahat.Ya memang betul, Iblis tidak mahu tunduk kepada Adam, yang hanya tercipta dari tanah liat kering, sedang dia tercipta dari api oleh itu dia menyombongkan diri.

Dan (ingatlah), tatkala Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu semua kepada Adam", lalu mereka sujud kecuali iblis. Dia berkata: "Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?"

Dia (iblis) berkata: "Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, niscaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil."

Tuhan berfirman: "Pergilah, barangsiapa di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sesungguhnya neraka Jahannam adalah balasanmu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup.

Dan hasunglah siapa yang kamu sanggupi di antara mereka dengan ajakanmu, dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki dan berserikatlah dengan mereka pada harta dan anak-anak dan beri janjilah mereka. Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan kepada mereka melainkan tipuan belaka. (Al-Israa', 17 :61-64).

Namun kita terkadang lupa satu perkara, Iblis memang diberikan kebenaran oleh Allah, diberikan penangguhan waktu untuk menyesatkan manusia sekalian. Pendek kata, walaupun dikutuk, tugasan dia sememangnya menyesatkan manusia dari jalan yang benar.Itu tugas dia! Dia pon sedia maklum dengan akibat yang akan dihadapi kelak.Dan melihatkan keadaan sekarang, dia betul-betul mengotakan janjinya, melaksanakan dengan baik tugasannya dengan menyesatkan manusia. Syaitan musuh yang nyata!

Manusia pula bagaimana? Apa yang ditugaskan kepada kita sebenarnya? Menyesatkan manusia jugakah? Menjadi pembantu iblis/syaitan? Apa kelebihan manusia? Apa amanah yang diberikan kepada manusia di muka bumi ini? Ya, manusia ditugaskan tidak lain tidak bukan untuk beribadah kepadaNya. Untuk memakmurkan bumi, untuk menjadi khalifah. Itu amanah besar yang diberikan. Dan kerana itu, malaikat juga pernah mempertikaikan kenapa manusia yang dilantik menjadi khalifah.

Manusia memang diberikan tugasan besar di muka bumi. Jangan kita mengingkari dan mengabaikan tugasan yang diberikan jika kita betul mengaku sebagai manusia, sebagai khalifah.
Adakah kita sudah melaksanakan tugasan tersebut? Soalan itu hanya diri masing-masing boleh menjawabnya.Dan kita pon tahu, dalam kita melaksanakan tugasan itu,pasti akan diganggu oleh syaitan.Namun ada pengecualiannya.

Allah berfirman: "Maka keluarlah kamu dari surga; sesungguhnya kamu adalah orang yang terkutuk,

Sesungguhnya kutukan-Ku tetap atasmu sampai hari pembalasan."

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan."

Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh,

sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (hari Kiamat)."

Iblis menjawab: "Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya,

kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka (Shaad, 38:77-83)

*nota kaki : Yang dimaksud dengan mukhlis ialah orang-orang yang telah diberi taufiq untuk mentaati segala petunjuk dan perintah Allah s.w.t.

Mukhlis ataupun asal perkataannya adalah ikhlas, itulah kuncinya. Melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah....

Tuesday, April 5, 2011

Bahan/benda yang sudah obselete/tak valid/tak relevan

Kehidupan dalam dunia teknologi serba pantas dan laju menjadikan pelbagai bahan/benda yang dahulunya digunakan, tetapi sudah tidak relevan pada masa kini.

1. Bahan bercetak

Saya yakin ramai yang membaca suratkhabar melalui internet sahaja pada masa kini. Kajian menunjukkan penurunan dalam jumlah pembelian suratkhabar bercetak. Begitu juga dengan buku dan bahan ilmiah seperti jurnal dan artikel konferens yang boleh dibuat turun dengan mudah di internet.

Kesan positifnya adalah kita akan menuju ke arah dunia tanpa (read: kurang) kertas. Terselamatlah pokok-pokok dari ditebang dan dijadikan kertas.

2. Kamera

Siapa masih lagi menggunakan kamera yang perlu diisi dengan filem? Di sini bukan perbandingan kualiti imej yang hendak diketengahkan,tetapi mungkin kamera digital lebih mudah untuk digunakan, boleh terus lihat gambar yang diambil, tak perlu mencuci kesemua gambar.

3. Disket, kaset

Ada lagi yang menggunakan disket? Pasti digelakkan orang lain. Dengan adanya USB Pendrive yang semakin kecil dan kompak serta besar ruangannya, katakan selamat tinggal kepada disket. Kaset? apa tuh? mungkin mereka yang berumur 12 tahun ke bawah tak pernah tengok dan mengenali apa itu kaset (oo ya, melainkan kalau mereka ada melihat video music Bruno Mars - Just the way you are). Pada mereka yang masih ingat, kalau tape kaset tuh melekat pada radio, kena guna pensel untuk masukkan balik.

4. Typewriter

Bisingnya, bunyi typewriter. Kalau salah, kena taip balik.

5. Walkman

Zaman dulu-dulu sebelum wujudnya i-pod, telefon bimbit canggih dan mp3 player, semua orang teringin nak memiliki satu walkman.Serious.Sesiapa yang ada kira keren(cool) habis.


Kalau diperhatikan, kesemua bahan/benda nih obselete disebabkan oleh teknologi digital.

Hmm..apa lagi ya barang yang dah obselete masa kini? Silakan tambah

Thursday, March 24, 2011

Famous people after death - Mereka yang terkenal selepas kematian

Mereka yang terkenal di masa kini, jangan kita sangka begitu senang dan terkenal di masa hidupnya. Mereka banyak menyumbang dalam pelbagai bidang dan mungkin di masa hidup mereka sendiri tidak menyangka bahawa mereka akan menjadi begitu terkenal.

Apa yang mendorong mereka melakukan apa yang mereka lakukan walaupun tanpa sebarang pengiktirafan sewajarnya. Malah ada yang diabaikan, dicemuh, dihina, diejek kerana melakukan apa yang mereka ingin lakukan di waktu hayat mereka.

Ada istilahnya dalam B.Inggeris iaitu Postmuthouos.Mari kita lihat senarai mereka (tidak mengikut sebarang turutan keterkenalan atau kekayaan)


1. Prof. Hamka (Ahli Falsafah, Agamawam, Ulama, Sasterawan)
Tokoh agama daripada Indonesia yang terkenal bukan sahaja kerana pandangannya dalam bidang agama,tetapi merangkumi bidang sastera. Antara tokoh yang saya kagumi kerana kehebatan beliau dalam pelbagai bidang mengimbau kembali kehebatan insan-insan di zaman keemasan dan kegemilangan Islam. Beliau banyak menulis dan antara karyanya yang terkenal adalah Di bawah lambaian Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van der Wick serta pelbagai majalah. Pernah dipenjarakan pada zaman Presiden Sukarno kerana dituduh pro-Malaysia dan kerana
pendiriannya yang tegas , selain dituduh sebagai kaum muda serta bersikap wahabi.

2. Vincent Van Gogh (Pelukis)
Antara nama terkenal jika kita memikirkan mengenai bidang lukisan dan seni.Lukisan beliau yang berbeza kerana penggunaan warna yang terang dan cerah kurang mendapat perhatian semasa hayatnya. Selepas beliau mati (membunuh diri) barulah karyanya semakin terkenal, dan kini menjadi antara lukisan paling bernilai.

3. Galileo Galilei (Ahli Saintis)
Siapa tidak mengenali beliau. Antara yang pertama untuk mengemukakan teori heliocentric iaitu
bumi mengelilingi matahari dan bukan sebaliknya (yang merupakan kepercayaan pada zaman beliau) Malangnya ia tidak diterima dan dianggap salah oleh pihak gereja, lalu beliau menjalani penyiasatan dan dikurung.

4. Imam Bukhari (Falsafah, Agamawam, Ulama)
Umum mengenalinya sebagai tokoh hadis yang terkenal. Namun ramai yang tidak mengetahui kisah hidupnya yang dibuang dari satu negeri ke satu negeri kerana disalah faham. Selepas beliau meninggal barulah orang mengenali beliau.

5. Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh (Seniman)
P.Ramlee merupakan namanya di layar. Seorang seniman agung yang hingga kini, kanak-kanak pon mengenalinya. Begitu kehebatan insan ini. Menghasilkan karya yang evergreen. Namun di akhir hayatnya, beliau disingkirkan, digelar 'benda yang sudah'(has been) dan hidup dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Lagunya yang terakhir Air Mata di Kuala Lumpur menceritakan segalanya.

6. Emily Dickinson (Penulis)
Penulis tersohor, namun di kala hidupnya, kurang dari 12 karyanya telah diterbitkan. Dan kerana cara penulisannya yang berbeza, karyanya yang diterbitkan telah diolah dan diedit untuk disesuaikan dengan gaya penulisan pada masa itu.

7. Gregor Johann Mendel (Saintis)
Mereka yang mempelajari sains dan biologi sudah semestinya amat mengenali Mendel yang terkenal dengan eksperimen kacang pis dan teori mendelnya.Kajian beliau di zamannya tidak mendapat perhatian sewajarnya. Namun teori mendel kini menjadi teori asas penting dalam memahami konsep genetik.

Sekarang jika ditanyakan siapa yang tak kenal tokoh-tokoh yang disebutkan di atas?
Pasti jika anda tidak mengenali mereka, anda akan diketawakan. Bayangkan pula jika mereka
berputus asa, dan mengikut kata orang ramai yang tidak sehaluan dengan mereka.
Saya menganggap tokoh-tokoh ini berfikiran satu atau 2 generasi keterdepan jika dibandingkan dengan generasi semasa hayat mereka. Mereka melihat sesuatu yang sangat berbeza dan tidak mampu lagi dilihat dan difahami oleh generasinya.

Kerana itu hasil nukilan dan masterpiece , mereka tidak diterima oleh masyarakat pada masa itu. Namun dihargai generasi yang seterusnya sehingga kini.

Kesimpulan yang diperolehi adalah jangan berputus asa sekiranya apa yang dilakukan kini tidak dihargai Selagi kita percaya dengan apa yang dilakukan dan kita bersungguh melakukannya. Tidak salah berpandangan ke depan, walaupun orang lain tidak memahaminya.Dan kita juga harus berkarya, tinggalkan sesuatu untuk menjadi tanda kewujudan di dunia.

Monday, March 21, 2011

Minda Kelas 3

Attitude. Selalu dirujuk sebagai sikap atau sifat seseorang.Mentaliti pula adalah cara berfikir
dan pemikiran seseorang. Aku just nak komen sikit pasal sikap dan mentaliti orang yang dikatakan sebagai kelas 3, atau 3rd class.Selalu dengar, tapi apa yang difahami tentang kedua-dua perkataan ni.Jadi aku conclude menerusi beberapa contoh, yang aku rasakan sesuai.


1. Sikap penyokong bola sepak yang amat fanatik. Bukan nak menuding pada penyokong mana-mana negara, sebab banyak je negara yang mempunyai kipas-susah-mati bola yang amat fanatik sampai merosakkan stadium, bergaduh bagai. Adatlah, perlawanan ada menang dan kalah, tak perlu emosional sangat. And BTW, you are just a SUPPORTER, bukannya korang yang main kan?

2. Sampah. Sad but true. Tabiat buang sampah merata-rata dah macam sebati dengan diri orang yang berfikiran kelas 3. Aku tak tahulah sebab apa dan macamana boleh senang-senang je buang sampah. Bukannya takde tong sampah, ada je, cuma kadang-kadang takdelah depan-depan mata setiap kali nak buang sampah kan. Hold on to it! Simpan la kejap, plastik ke pembalut gula-gula tuh, depan tuh nanti adalah tempat nak buang sampah.

3. Tandas. Haa...mesti dah imagine dah kan rupa tandas yang kotor, geli, geli. Dan lagi menyakitkan hati, dahlah kena bayar, sekali tak maintain, kotor jugak.Memang rasa nak menyumpah.

4. Ni melalui pengalaman sendiri. Bila foreigners tanya arah, nak pergi mana-mana, sesat jalan, tak tahu nak naik public transport, ramai melarikan diri. Aku tak tahu sebab apa, sebab takut nak cakap Inggeris ke, apa tak tahulah. Kalau tempat tuh public, tolonglah orang tuh. Kita kena ingat, kita mewakili negara. Ini dressing urban , tengah panas boleh pakai kot la jaket la, tapi nak tunjuk jalan pon tak boleh harap, apa kes?

5. Gelagat di atas jalanraya. Langgar lampu isyarat, potong baris, tak bagi signal, memecut, parking merata dan 1001 lagi sikap yang kita boleh tengok.

Ada sape2 lagi nak menambah? Silakan :)

Sunday, March 13, 2011

Barang kini tidak berkualiti?

Saya pasti saya tidak bersendirian dalam isu ini. Henset yang baru digunakan selama setahun dah rosak, laptop yang baru dibeli beberapa bulan lepas dan mula meragam dan tidak boleh dibuka, peti sejuk yang baru dibeli dah mula tak sejuk . Itu contoh barang elektrik. Kalau perabot pula, sofa baru beli beberapa bulan dan melendut,dan tak gebu, duduk dah terasa kayunya, kerusi dan almari patah dan tidak kukuh. Kalau kereta pula, tak sempat nak sekali servis dan mula meragam dan 1001 lagi contoh yang boleh diberi. Anda sendiri boleh buatkan satu senarai yang barangkali panjangnya berjela.

Isunya kenapa? Kenapa barang sekarang mudah sangat rosak, tidak berkualiti? Jika dibandingkan dengan barangan 15-20 tahun lalu, memang berbeza. Mungkin jika 30-40 tahun dahulu lagilah berbeza kerana ia tahan lama! Teringatkan televisyen dan mesin basuh yang ada di rumah, dibeli kira-kira 15 tahun dahulu baru sahaja rosak. Memang logik la kan, kira kalau barang elektrik tuh kalau 10 tahun jangkamasa guna yang cukup bagus. Sama juga dengan barangan lain seperti perabot.Cuba tanyakan ibu bapa anda, berapa lama tahannya perabot-perabot dulu.

Kesimpulannya adalah ia berlaku kerana sikap tamak-kapitalis.Walaupun sekadar kesimpulan sendiri, tapi saya rasa ada kebenarannya. Iyalah cuba bayangkan jika satu-satu barangan tuh dibuat bertahan selama 10 tahun. Maka pengguna yang ingin menggantikan barangan itu pun hanya membeli 10 tahun sekali sahaja. Tapi di zaman kapitalis ni, cuba fikirkan berapa kali kita menukar barangan tak kiralah perabot ke barang elektronik ke. Bukan nak diikutkan trend pon, misalnya henset yang makin canggih so nak bertukar ganti, ataupun laptop yang makin bagus speknya. Kalau diikutkan trend macam tuh, makin rancaklah bertukar. Tapi ni boleh kata terpaksa juga beli sebab barang tuh dah rosak. Warranty pon selalunya setahun je. Jadi, sebagai pengguna, pastikan kebarangkalian untuk membeli barangan yang kurang berkualiti tu rendah. Perhatikan barang tersebut, buat tinjauan, pilih dengan bijak.