Sunday, November 29, 2009
Review Filem Perempuan Berkalung Sorban
Saya terdetik untuk menonton filem ini setelah membaca reviewnya di blog Saudara Faisal Tehrani. Ini merupakan filem kedua yang berunsurkan Islamik daripada seberang yang telah saya tonton setelah Ayat-ayat Cinta. Saya tidak gemar sebenarnya untuk mengklasifikasikan filem-filem yang bermotifkan cinta dan disulam dengan nuansa Islamik sebagai filem Islamik, tetapi tak dapat pula memikirkan satu terma yang lebih tepat. Ini kerana jika kita begitu pantas menyatakan sedemikian, seolah-olah kita sudah meletakkan satu persepsi bahawa filem Islamik itu hanyalah yang bercorak sebegitu rupa sedangkan ia boleh lebih meluas lagi dan tidak semestinya hanya berkisahkan pesantren/madrasah/sekolah agama atau berlatarkan negara timur tengah.
Mungkin ada yang akan menganggap filem Perempuan Berkalung Sorban lakonan Revalina S. Temat ini sebagai terlalu ekstrem, tidak masuk dek akal dan tidak pula melambangkan Islam dan Muslim yang sebenar. Namun begitu, saya melihat mesej yang ingin disampaikan adalah baik. Saya tidak pasti apa benar di Indonesia masih ada pesantren yang mengamalkan gaya hidup yang sebegitu rupa, di mana martabat seorang wanita itu diletakkan rendah sekali (tidak dibenarkan belajar tinggi, dipaksa kahwin, tidak dibenarkan berpendapat , tidak dibenar membaca buku-buku moden dll.) tetapi kita harus ingat bahawa di dunia ini, sememangnya masih ada penindasan yang berlaku ke atas kaum wanita.
Dan di sinilah kita dapat lihat semangat seorang wanita yang bijak dan cantik bernama Anissa yang ingin merubah dan mengatasi penindasan yang dilakukan ke atasnya. Jiwanya memberontak. Dia yakin bahawa apa yang diajarkan di pesantren yang dimiliki ayahnya itu bukan Islam yang sebenarnya. Dia dipaksa berkahwin dengan lelaki lain, didera mental dan fizikal, tidak dibenarkan menyambung pelajaran dan pelbagai dugaan lain yang terpaksa dihadapi.
Walaupun nampaknya seakan merendahkan pesantren ataupun Islam itu sendiri, tetapi saya beranggapan bahawa bukannya Islam itu yang berupa sedemikian, namun ia berlaku disebabkan oleh kesilapan manusia itu yang merasakan hanya dirinya yang betul dan sudah cukup sempurna dan tidak dapat disangkal, serta boleh pula menggunakan agama sebagai alasan untuk membenarkan perbuatan mereka serta dengan mudah menyalahkan pihak lain.
Jadi adakah Anissa berjaya membebaskan dirinya serta teman-teman lain di pesantren daripada “penjara” jiwa ? Tontonlah filem ini untuk mengetahuinya. Semangat seorang perempuan berhati lelaki – tabah, berani, kuat, cekal. Ada baik dan buruknya filem ini, yang baik dicontohi, yang tak baik dibuat sempadan. Satu lagi sebab untuk anda menonton filem ini adalah kerana ia menimbulkan kontroversi yang agak besar di seberang! Layan dan timbangkan sendiri tanpa sebarang bias , apa pendapat anda? Saya beri 4*. Jauh lebih baik daripada filem-filem Prof Razak Mohaideen & David Teoh pastinya ;P
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment